Apakah itu Skim Geran Pendigitalan PKS?

  • Inisiatif Geran Pendigitalan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah inisiatif geran untuk membantu PKS untuk mengguna pakai perkhidmatan pendigitalan dalam operasi perniagaan harian.
  • Geran padanan berjumlah 50% sehingga RM5,000 akan disediakan bagi setiap syarikat PKS yang layak bagi langganan perkhidmatan pendigitalan untuk meningkatkan daya persaingan dan produktiviti perniagaan.
  • Butiran geran adalah seperti berikut:
    1. Geran: Geran padanan ini terhad untuk satu (1) permohonan sahaja bagi setiap PKS. PKS dibenarkan untuk memohon sehingga tiga (3) jenis perkhidmatan pendigitalan dengan satu atau lebih pembekal perkhidmatan pendigitalan yang berdaftar dengan MDEC (“Pembekal Perkhidmatan”).
    2. Ketersediaan: Geran ini dibekalkan oleh Kerajaan untuk tempoh lima (5) tahun bermula 17 Febuari 2020 atau apabila mencapai 100,000 permohonan, yang mana terdahulu.
    3. Yuran: Tiada yuran dikenakan.
  • Terdapat tujuh (7) aspek perkhidmatan pendigitalan yang boleh dipilih seperti dibawah:
    1. Sistem Electronic Point of Sale (e-POS)
    2. Sistem Penggajian Sumber Manusia (HR) / Customer Relationship Management (CRM)
    3. Pemasaran Digital / Jualan
    4. Perolehan
    5. Enterprise Resource Planning (ERP) / Perakaunan & Cukai
    6. E-dagang
    7. Kerja Jarak Jauh

Siapakah yang layak untuk memohon Skim Geran Pendigitalan PKS?

PKS yang memenuhi kriteria di bawah layak dan digalakkan untuk memohon:

  • Syarikat dimiliki oleh sekurang-kurangnya 60% warganegara Malaysia;
  • Syarikat berdaftar dibawah Akta yang relevan di Malaysia dan diklasifikasikan sebagai PKS;
  • Syarikat telah beroperasi sekurang-kurangnya satu (1) tahun;
    1. Bagi PKS yang baru beroperasi selama satu (1) tahun, PKS perlu mempunyai jumlah jualan tahunan minimum sebanyak RM100,000.00 untuk tahun tersebut; atau
    2. Bagi PKS yang telah beroperasi melebihi dua (2) tahun, PKS perlu mempunyai jumlah jualan tahunan minimum RM50,000.00 untuk tahun berikutnya (jualan tahunan).

Bagaimanakah saya boleh memohon Skim Geran Pendigitalan PKS?

  • PKS boleh melantik salah satu atau lebih panel Pembekal Perkhidmatan yang disenaraikan oleh MDEC untuk melaksanakan mana – mana perkhidmatan pendigitalan yang disediakan (maksimum 3 servis).
  • PKS mengemukakan borang permohonan berserta dengan dokumen sokongan yang diperlukan kepada mana-mana cawangan SME Bank & BSN.
  • Setelah permohonan PKS diluluskan, bergantung kepada keseluruhan jumlah invois, pihak Bank akan membuat pembayaran terus sebanyak 50% daripada keseluruhan jumlah invois atau sehingga RM5,000.00 kepada Pembekal Perkhidmatan secara penuh atau secara berperingkat mengikut budi bicara Bank.
  • Untuk maklumat permohonan lanjut, lawati DI SINI.